BERITA SEMASAPMX

Pemuliharaan Bangunan Carcosa Seri Negara, Kompleks Sultan Abdul Samad semarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 – PM

KUALA LUMPUR – Usaha pemuliharaan Bangunan Carcosa Seri Negara dan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad mampu memperkukuh identiti nasional dengan menonjolkan budaya, warisan negara, sambil memperkayakan pengalaman pelancong dan masyarakat tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai salah satu mercu tanda warisan Kuala Lumpur, pemuliharaan itu bertepatan dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya percaya, usaha ini adalah untuk memastikan bangunan bersejarah ini bukan sahaja dikekalkan tetapi turut dimajukan sebagai pusat kebudayaan dan ekonomi yang mampan serta boleh diakses oleh semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau selepas mendengar taklimat daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berkenaan status semasa kerja-kerja pemuliharaan bangunan itu semalam.

Anwar berkata, penerangan melalui “gallery board walk” itu memaparkan gambaran terkini projek yang sedang dijalankan yakni sebahagian daripada inisiatif Khazanah untuk memulihara dan memberi nafas baru kepada bangunan-bangunan warisan negara tersebut.

Terdahulu, Anwar dipetik berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bahawa Bangunan Sultan Abdul Samad perlu dikekalkan sebagai tanda Warisan Kesultanan Melayu yang agung.

Pada 18 Februari lalu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata Carcosa Seri Negara yang telah hampir enam tahun ditutup, bakal berwajah baharu.

Beliau berkata, kerja-kerja pembangunan bangunan warisan negara itu dijangka siap menjelang Julai depan.

Bangunan bersejarah itu ditutup sejak 1 Jun 2019 selepas Kerajaan Persekutuan mengambil alih premis berkenaan daripada pihak ketiga.

Carcosa Seri Negara yang pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dibina oleh Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button