BERITA SEMASADALAM NEGERI

Dewan Pemuda PAS Selangor gesa haramkan vape di Selangor

SHAH ALAM – Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan negeri supaya mengharamkan penjualan vape dengan segera bagi melindungi kesihatan dan masa depan generasi muda daripada ancaman ketagihan serta penyakit kronik.

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, langkah itu perlu diambil segera memandangkan jumlah pengguna vape dalam kalangan murid semakin membimbangkan dan usaha pencegahan yang ada masih belum cukup berkesan.

“Dewan Pemuda PAS Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor melaksanakan Program Zero Vape Peringkat Negeri Selangor 2025 di SMK Bandar Utama Damansara (2) baru-baru ini.

“Komitmen JPN Selangor ini wajar dipuji kerana bukan sahaja memperkukuh nilai kesihatan, disiplin serta akhlak murid agar tidak terjebak dalam ketagihan vape, bahkan ia juga selari dengan tuntutan Islam untuk menjaga akal dan nyawa (maqasid syariah) serta membina generasi berilmu dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) sehingga Disember 2024, seramai 19,450 murid dikesan menggunakan vape, malah terdapat laporan penyakit E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) yang dikaitkan dengan penggunaannya.

Katanya, EVALI boleh menyebabkan kerosakan paru-paru kekal dan membawa maut, dengan kos rawatan mencecah RM150,892.11 bagi setiap pesakit untuk tempoh 12 hari di hospital.

Dalam pada itu, Muhammad Faizzuddin mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang masih ragu-ragu untuk melaksanakan pengharaman, sedangkan beberapa negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah sudah mengambil langkah lebih tegas.

Menurutnya, walaupun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu, penjualan vape masih berleluasa di pasaran dan penguatkuasaan dilihat tidak mencukupi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya tidak memperbaharui lesen premis menjual vape dan kerajaan negeri segera menggubal larangan sepenuhnya terhadap penjualan produk tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button