BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pemuda kongsi peluang sambung belajar ke luar negara meskipun tidak cemerlang SPM

KUALA LUMPUR – “Saya tak pernah bayangkan akan belajar sampai ke luar negara, apatah lagi dalam bidang Kejuruteraan. Tambahan pula, keputusan SPM saya dulu tidaklah begitu membanggakan.”

Itulah kata-kata awal Nurafiz Miskan, seorang graduan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Lanjutan yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat antarabangsa.

Di sebalik pencapaian itu, tersembunyi kisah jatuh bangun seorang pelajar yang enggan menyerah hanya kerana slip peperiksaan.

“Ramai yang fikir jika keputusan SPM teruk, tiada lagi peluang ke luar negara. Tapi sebenarnya peluang itu ada, kalau kita tahu di mana nak cari,” katanya dalam hantaran media sosial.

Nurafiz memulakan langkahnya di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), sebuah institusi yang menawarkan program diploma secara percuma dengan fokus utama kepada kemahiran teknikal.

Pendekatan pengajaran di KKTM yang menekankan 70 peratus praktikal manakala selebihnya teori.

“Saya lebih sesuai dengan pembelajaran praktikal. Di KKTM, pendekatan ini membantu saya faham dengan lebih baik dan bina keyakinan,” katanya.

Selepas tamat diploma, beliau memohon satu program penajaan luar negara di bawah MARA dan berjaya untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah.

Beliau kemudiannya berangkat ke luar negara bagi mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Lanjutan, yang mengambil masa tiga tahun.

“Keputusan saya bukan luar biasa, tapi saya tak putus asa. Bila saya dapat tawaran ke luar negara, saya sendiri pun terkejut. Tapi saya anggap ini hasil usaha berterusan dan peluang yang saya tak sia-siakan,” katanya.

Beliau kini bergelar graduan dan mahu kisahnya dijadikan inspirasi kepada pelajar lain yang mungkin merasakan keputusan SPM mereka telah menutup segala peluang.

“Jangan ukur masa depan dengan slip peperiksaan semata-mata. Sistem pendidikan kita ada banyak laluan – penting untuk kenal pasti yang sesuai dengan diri sendiri,” tambahnya lagi.

Kisah Nurafiz menjadi cerminan kepada potensi sistem pendidikan teknikal dan vokasional sebagai jalan kedua yang realistik dan berkesan bagi pelajar yang tercicir daripada arus akademik perdana.

Satu laluan yang bukan sahaja sah, tetapi terbukti mampu membawa pelajar hingga ke peringkat global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button