
Pemuda bantu pasangan pengantin meninggal dunia selepas 2 hari bertarung nyawa
TANJONG KARANG – Seorang lelaki yang parah ketika membantu pasangan pengantin baharu terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 53 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Batu 3, Jalan Bernam, di sini, meninggal dunia hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, mangsa, Mohd Azizi Faez Mohamad Alias, 33, meninggal dunia, pada 3.22 petang di Hospital Sungai Buloh.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 10.50 malam kelmarin semasa mangsa yang memandu dari Teluk Intan ke Klang melihat Perodua Bezza dalam keadaan terbalik.
“Mohd Azizi Faez kemudian cuba membantu untuk mengeluarkan mangsa kemalangan, bagaimanapun secara tiba-tiba, mangsa dan kenderaan pengantin baharu itu kemudian dilanggar Nissan Almera,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramli berkata, pelanggaran mengakibatkan lelaki itu tercampak dan jatuh atas jalan serta mengalami kecederaan parah.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 3.22 petang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Semalam media melaporkan seorang pengantin baharu maut dalam satu kemalangan manakala isterinya cedera.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Norsyam Nasullah Rahim, 23 dan isterinya, Aini Hayati Mohd Radzi, 22 patah kaki kiri dan cedera di dagu.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza dipandu Norsyam Nasullah gagal dikawal lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Honda City.
Kereta pengantin itu kemudian terbalik dan masuk ke lorong kanan sebelum dilanggar Nissan Almera hingga terseret sejauh kira-kira 11 meter.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |