BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pempengaruh ‘mukbang kosmetik’ Taiwan mati secara mengejut

TAIPEI – Seorang pempengaruh media sosial dari Taiwan terkenal dengan kandungan kontroversial melibatkan pengambilan produk kosmetik dilaporkan meninggal dunia mengejut, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai aspek keselamatan dan kesihatan awam.

Menurut laporan media tempatan, individu dikenali sebagai Guava Beauty, berusia 24 tahun dengan lebih 12,000 pengikut di platform dalam talian, meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

“Dia terkenal dengan video ‘make-up mukbang’, satu trend di mana produk kosmetik dimakan secara langsung atau dirakam.

“Antara kandungan yang dimuat naik termasuk aksi memakan gincu, pemerah pipi, masker muka dan pad kapas. Dalam video terakhir sebelum pemergiannya, Guava Beauty dilihat menyuap pemerah pipi bertekstur jeli ke mulut sambil menulis kapsyen “Kalau kamu berani cadangkan, saya berani makan.”

“Jom cuba. Rasa rangup macam agar-agar. Maaf kawan, tapi rasanya teruk,” katanya dalam video tersebut, yang turut menunjukkan dia mengunyah produk kosmetik menggunakan garpu selepas menyapunya ke wajah,” katanya dalam kenyataan.

Tindakan berani itu nyata membangkitkan kebimbangan dalam kalangan pengikut, khususnya berkaitan potensi kesan buruk bahan kimia dalam kosmetik terhadap kesihatan manusia.

Para pengguna media sosial menegaskan pihak terbabit harus bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya tindakan tersebut ditiru dan menimbulkan kesan buruk, serta tidak seharusnya mempromosikan perbuatan yang berbahaya itu.

Selepas video tersebut, Guava Beauty tidak lagi mengemas kini akaunnya dan pada 24 Mei kapsyen profilnya telah diubah kepada log keluar dari dunia.

Keluarga mangsa mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemergian Guava Beauty.

“Dengan penuh kesedihan, kami ingin memaklumkan bahawa anak kami yang juga pencipta kandungan, Guava Beauty, telah menghembuskan nafas terakhir pada 24 Mei 2025. Segala kerjasama perniagaan dibatalkan dan akaun ini tidak lagi diuruskan,” katanya dalam kenyataan.

Kematian mengejut itu menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan ia berpunca daripada keracunan bahan kimia atau serangan jantung.

Namun setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai punca sebenar kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button