Pempengaruh patut guna populariti didik bahaya vape, bukan jadi duta
CYBERJAYA – Golongan pempengaruh media sosial sepatutnya menggunakan populariti mereka untuk menyedarkan masyarakat, terutama pelajar sekolah, tentang bahaya vape atau rokok elektronik dan bukannya menjadi duta mempromosikannya.
Menurut Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, ketika ini pempengaruh dilihat lebih memilih menjadi duta produk berkenaan sehingga menjadi ikutan remaja.
“Untuk mengelak hal itu, kita perlu mengajak pempengaruh media sosial menggunakan platform yang mereka miliki bukan untuk mempromosikan vape, tetapi untuk memberitahu betapa bahayanya kesan vape dalam kalangan pelajar sekolah.
“Selain itu, langkah paling praktikal dalam memerangi vape bermula dengan teguran terus daripada orang dewasa kepada golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, selain teguran tegas ibu bapa, golongan masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan memberi teguran secara terus sekiranya ternampak anak-anak menghisap vape di mana-mana kawasan.
“Dengan wujudnya teguran secara terus, anak-anak akan ada persepsi bahawa vape ialah perkara yang dibenci oleh masyarakat, sekali gus menjadikan trend itu dibenci dan dijauhi,” katanya lagi.
Lam Thye berkata, semua pihak harus berganding bahu memainkan peranan bagi memastikan generasi muda tidak dibelenggu dengan vape yang bukan sahaja sia-sia, malah boleh merosakkan masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






