BERITA SEMASA

Pempengaruh dakwa lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Cina ditahan

TAPAH – Seorang pempengaruh yang mencetuskan kontroversi yang mengaitkan lagu kebangsaan dinyanyikan dalam bahasa Cina oleh murid-murid sebuah sekolah telah ditahan oleh pihak polis.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan pempengaruh itu sebelum ini telah ditegur dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) seterusnya menjalankan siasatan.

“Saya dimaklumkan pempengaruh itu telah ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak polis,” katanya memetik laporan Utusan Online di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Pejabat Penerangan Batang Padang di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa polis Perak telah menahan pempengaruh tersebut berhubung dakwaannya bahawa pelajar sebuah sekolah Cina di Perak menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Cina.

Peguamnya, Zaid Malek dilaporkan berkata, pempengaruh tersebut ditahan sekitar jam 12 tengah hari di Petaling Jaya, Selangor dan penahanan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sementara itu, Fahmi mengulangi peringatan bahawa penguatkuasaan pindaan Akta 588 yang bermula pada 11 Februari lalu yang mana pelanggaran seperti hantaran atau kandungan bersifat jelik melampau, fitnah, berita palsu dan menyentuh aspek buli siber boleh dikenakan denda jika disabitkan di mahkamah sehingga RM500,000 atau dikompaun RM250,000.

“Kita harap ia menjadi peringatan kepada semua untuk sentiasa berhati-hati dan jangan sebar berita yang kita tak pasti. Tak pasti jangan kongsi. Semak dulu dan buat pengesahan dengan media arus perdana.

“Kalau media tidak melaporkan, belum tentu perkara itu betul. Saya minta supaya semua sentiasa berhati-hati. Jangan terlalu mudah percaya maklumat yang diterima dalam aplikasi media sosial,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button