Berita Semasa

Pemindahan kuil ke tapak baharu penyelesaian terbaik – Gobind

KUALA LUMPUR – Keputusan memindahkan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, di sini merupakan satu penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu berkenaan.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, beliau mengalu-alukan keputusan itu dan merakamkan penghargaannya kepada semua pihak yang terlibat.

“Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, YB Prabakaran, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, dan pasukannya kerana membantu kami mencari jalan penyelesaian,” kata Gobind.

Beliau yang juga Menteri Digital berkata demikian ketika hadir di lokasi kuil berkenaan, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Kata Gobind, pihak pengurusan kuil berkenaan menghubungi kira-kira sebulan setengah lalu bagi menyuarakan kebimbangan mereka mengenai status kuil tersebut, dan meminta bantuannya.

“Prabakaran juga telah membantu jawatankuasa kuil secara aktif.

“Beberapa cadangan telah dikemukakan tetapi perkara yang paling penting bagi kami adalah untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” kata Gobind lagi.

Hasil perbincangan pihak terlibat, sebuah tapak yang sesuai telah dipersetujui petang semalam.

Tapak baharu seluas 4,000 kaki persegi itu terletak kurang daripada 100 meter dari lokasi sedia ada kuil berkenaan.

Tanah tersebut juga akan digazetkan atas nama jawatankuasa kuil, mengikut undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button