BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pemilik rumah mayat dipenjara 20 tahun hantar abu palsu kepada waris, simpan 191 mayat

DENVER – Seorang pemilik rumah mayat di Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun oleh mahkamah persekutuan selepas didapati bersalah menyimpan hampir 200 mayat dalam keadaan reput serta menipu pelanggan dan kerajaan.

Tertuduh, Jon Hallford, 45, yang memiliki Return to Nature Funeral Home di Penrose bersama isterinya, Carie Hallford, turut diperintah membayar pampasan sebanyak AS\$1.07 juta (RM5.06 juta) kepada waris mangsa yang terlibat.

Menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara Daerah Colorado, pasangan tersebut didapati menyimpan sebanyak 191 mayat dari tahun 2019 hingga 2023 tanpa menjalankan proses pembakaran atau pengebumian seperti yang dijanjikan kepada keluarga si mati.

Sebaliknya, abu yang dihantar kepada waris hanyalah campuran konkrit kering yang disamar sebagai abu mayat.

“Penipuan terbongkar pada Oktober tahun lalu selepas pihak berkuasa menerima aduan mengenai bau busuk yang datang dari bangunan premis berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati keadaan dalam bangunan tersebut amat menjijikkan, usang dan dipenuhi serangga, manakala mayat-mayat pula disusun bertindih sehingga menyukarkan pergerakan anggota penyiasat,” katanya memetik laporan AFP.

Dalam prosiding di mahkamah, Hakim Daerah Nina Wang menyifatkan kes berkenaan bukan sekadar penipuan biasa sebaliknya satu jenayah kejam yang memberi kesan emosi mendalam terhadap keluarga mangsa.

Beliau kemudian menjatuhkan hukuman maksimum penjara selama 240 bulan ke atas tertuduh.

Selain itu, Hallford turut mengaku bersalah kerana menipu kerajaan persekutuan dengan memohon bantuan kewangan di bawah program Small Business Administration (SBA) ketika pandemik Covid-19.

Wang bantuan hampir AS\$900,000 (RM4.25 juta) yang diterima digunakan untuk membeli kenderaan mewah, mata wang kripto serta barangan berjenama.

Hallford turut berdepan 191 pertuduhan di mahkamah negeri atas kesalahan mencemarkan mayat dan dijangka dijatuhi hukuman pada Ogos ini.

Sementara itu, isterinya, Carie Hallford dijadualkan menghadapi perbicaraan bagi kes persekutuan dan negeri bermula September nanti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button