
Pemilik restoran terima sumbangan RM1,800, cukup untuk makan 50 pelajar selama tujuh hari
KUALA LUMPUR – Pemilik Restoran Nasi Kandar Sulaiman (NKS) di George Town, Pulau Pinang menzahirkan rasa terharu apabila menerima sumbangan berjumlah RM1,800 daripada seorang individu yang mahu duit itu digunakan untuk menjamu pelajar-pelajar sebuah institusi pengajian agama di negeri itu.
Sumbangan oleh individu yang tidak mahu dikenali itu katanya merupakan derma tertinggi yang pernah diterima pihaknya.
Lebih mengagumkan, penderma dari Johor itu menyerahkan amanah tersebut dengan penuh keyakinan walaupun mereka tidak mengenali antara satu sama lain.
“Masya-Allah, saya sangat terharu. Beliau langsung tidak mengenali saya tetapi percaya untuk menyerahkan tanggungjawab ini.
“Betapa mulianya hati beliau yang sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu untuk memberi makan kepada orang lain,” kata pemilik restoran tersebut di akaun Facebook Nasi Kandar Sulaiman.

Menurutnya lagi, wang sumbangan itu akan digunakan untuk menyediakan 50 bungkus makanan sehari selama tujuh hari berturut-turut.
Kesemua makanan tersebut akan diagihkan kepada pelajar-pelajar kolej kitab yang memerlukan.
Pemilik restoran itu juga menyatakan rasa syukur kerana restoran NKS dipilih menjadi perantara bagi orang ramai melakukan amal kebajikan.
Beliau turut mengaitkan sumbangan itu dengan sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa memberi makan seorang mukmin sehingga dia kenyang, maka Allah akan memasukkannya ke dalam salah satu pintu syurga yang tidak dimasuki oleh orang lain” (Hadis Riwayat Thabrani).
Dengan sumbangan itu, pemilik restoran tersebut berharap lebih ramai individu bermurah hati untuk membantu golongan yang memerlukan, khususnya para pelajar dalam bidang agama.
Sehingga artikel ini ditulis, status tersebut telah menerima 808 reaksi, 131 komen dan 15 perkongsian.
“Alhamdulillah, semoga dipermudahkan segala urusan dan juga amanah yang dipikul. Cukup berat tetapi dengan izin Allah dapat dilaksanakan,” tulis Rizal Abdul Wahid.
“Masya-Allah, tabarakallah. Saya teringat dulu Ustaz Nik Omar selalu ketengahkan ‘Fastabiqul Khairat’,” komen Mohd Taufik Zakaria pula.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |