BERITA SEMASA

Pemilik restoran ditegur kasar, 9 lelaki ditahan bantu siasatan pergaduhan

KINARUT – Sembilan ditahan dalam insiden salah faham membabitkan seorang pelanggan yang dipercayai menegur pemilik sebuah restoran dengan nada kasar sehingga tercetus pergaduhan.

Kejadian di sebuah premis makanan di Palm Square, di sini, semalam menyaksikan dua kumpulan lelaki bertengkar mulut sebelum keadaan menjadi tidak terkawal dan berakhir dengan pergaduhan menggunakan kerusi dan kayu.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, seramai sembilan lelaki berusia antara 19 hingga 50-an telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden yang berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan salah seorang suspek yang menegur pemilik restoran dengan nada kasar, menyebabkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan pertengkaran antara dua kumpulan.

“Keadaan menjadi semakin tegang sebelum berlakunya pergaduhan fizikal membabitkan penggunaan objek seperti kerusi dan kayu sebagai senjata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kekecohan tersebut berjaya dileraikan dengan campur tangan orang awam yang berada di lokasi kejadian, sekali gus mengelakkan insiden menjadi lebih parah.

Menurut Kamaruddin, semua suspek yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 60 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam.

Tambah beliau, pihak polis turut mengambil maklum bahawa insiden itu telah dirakam dan tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang video atau kenyataan yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan kekeliruan dalam kalangan awam,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua pihak agar mengelak daripada bertindak mengikut emosi dan menyelesaikan sebarang salah faham secara berhemah tanpa mencetuskan kekecohan.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button