
Pemergian Tengku Zafrul tidak gugat UMNO – Zahid
LONDON — Keputusan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk keluar daripada UMNO tidak menimbulkan sebarang ketegangan dalam parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, majoriti ahli akar umbi menganggap langkah Tengku Zafrul sebagai wajar memandangkan beliau tidak menunjukkan kesetiaan terhadap parti.
“Saya tidak nampak ada petunjuk suhu politik dalam UMNO meningkat. Lebih baik beliau keluar jika tiada kesetiaan terhadap parti. Jangan ganggu beliau kerana kini sedang menunaikan ibadah Haji. Semoga fikirannya tenang dan damai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat awal bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat hari ke United Kingdom yang bermula semalam.
Pada Jumaat lalu, Tengku Zafrul memaklumkan menerusi hantaran Facebook bahawa beliau telah menyerahkan surat keluar UMNO dan menyertai PKR.
Mengulas mengenai kemungkinan rombakan Kabinet susulan kekosongan jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Ahmad Zahid berkata perkara itu perlu dibincangkan secara dalaman dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kuasa mutlak untuk melantik menteri terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru, adalah lebih baik perkara ini dibincangkan secara dalaman bagi mengelakkan pelbagai tafsiran,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid turut dilaporkan berkata bahawa UMNO mahu kuota tujuh jawatan menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan kepada parti berikutan tindakan Tengku Zafrul keluar daripada UMNO.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |