
Pembayar cukai PKPS 2.0 dinasihat selesaikan bayaran sebelum 31 Disember ini
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menasihatkan kepada semua pembayar cukai yang telah menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 untuk membuat bayaran penuh mengikut aturan ansuran yang telah ditetapkan pada atau sebelum 31 Disember ini.
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, kegagalan pembayar cukai menjelaskan
bayaran dalam tempoh seperti yang telah ditetapkan boleh dikenakan kenaikan lewat bayar di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 atau tindakan undang-undang di mahkamah.
“Tindakan pematuhan boleh turut dikenakan ke atas mereka mengikut Rangka Kerja Audit Cukai yang berkuat kuasa di mana pembayar cukai boleh diaudit atau disiasat pada masa hadapan sekali gus manfaat PKPS 2.0 yang dinikmati akan terbatal,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, LHDN ingin menasihatkan kepada semua pembayar cukai agar membuat semakan tunggakan cukai dan ansuran bayaran PKPS 2.0 secara dalam talian di https://mytax.hasil.gov.my.
“LHDN yakin dengan kerjasama daripada semua pihak, objektif pelaksanaan PKPS 2.0 ini akan tercapai sepenuhnya serta menjadi pemangkin kepada peningkatan
kesedaran, tanggungjawab dan tahap pematuhan cukai rakyat Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
PKPS telah bermula pada tahun 2018
merupakan inisiatif LHDN untuk memberi peluang kepada pembayar cukai agar tampil secara sukarela memperbaiki rekod percukaian sekiranya terdapat isu-isu ketidakpatuhan seperti pendapatan yang tidak atau terkurang lapor, pelepasan, perbelanjaan, potongan, rebat, elaun dan insentif yang terlebih tuntut serta kegagalan untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).
Menerusi PKPS 2.0, sehingga 31 Mei lalu sebanyak 141,406 kes pengakuan sukarela telah diterima melibatkan taksiran cukai sebanyak RM1.29 bilion melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1 bilion.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |