Pemandu treler dipanggil polis selepas aksi bahaya di Jambatan Pulau Indah
SHAH ALAM – Polis telah mengambil keterangan seorang pemandu treler yang memandu secara melulu dan berbahaya di Jambatan Pulau Indah, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pemandu berusia 30-an itu hadir di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 2 petang apabila pemandu treler dari arah Pelabuhan Barat ke Kajang bertindak memotong sebuah treler lain di atas jambatan SKVE yang mempunyai garisan berkembar.
“Tindakan tersebut menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa berhenti di bahu jalan untuk mengelakkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akmalrizal berkata, semakan mendapati pemandu tersebut bekerja dengan sebuah syarikat pengangkutan di Pelabuhan Klang dan memiliki lesen memandu yang sah.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
Beliau menambah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-3187 2222, atau mengunjungi balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





