BERITA SEMASA

Pemandu kren maut dipanah petir ketika tidur dalam buaian

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut dipercayai akibat dipanah petir ketika tidur dalam buaian di pondok rehat hadapan rumahnya di Kampung Pulau Tiga, Sungai Layar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat daripada isteri mangsa kira-kira jam 10 malam berhubung kejadian menimpa Mohammad Shahrim Sheh Ali, 31, yang bekerja sebagai pemandu kren.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku jam 9.45 malam ketika hujan lebat berserta petir dan mangsa dikatakan tidur berseorangan di pondok rehat berkenaan.

Berdasarkan laporan, beliau berkata, terdahulu isteri mangsa berusia 31 tahun bersama abang dan rakan suaminya dikatakan menyangka Mohammad Shahrim sedang tidur, justeru tidak mengejutkan lelaki itu.

“Namun kira-kira jam 10 malam, isteri dan rakan suami cuba mengejutkan mangsa di bawah buaian tetapi mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri, sebelum terus membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, doktor mengesahkan lelaki itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari rumah ke HSAH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.

Wan Azharuddin berkata, isteri arwah memaklumkan bahawa suaminya berada dalam keadaan sihat sebelum itu dan hasil siasatan awal juga mendapati mangsa tiada sebarang rekod penyakit kronik.

Selain itu, beliau berkata, pegawai penyiasat yang melakukan pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati tiada unsur jenayah berlaku.

“Hasil siasatan di tempat kejadian juga menemui kesan terbakar pada kayu menggantung buaian, dan wayar elektrik telah putus.

“Hasil bedah siasat turut mendapati ada kesan terbakar pada si mati yang berpunca daripada panahan petir,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button