BERITA SEMASA

Pemandu kena serangan jantung maut rempuh dua kenderaan

KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh dua kenderaan yang diparkir di Jalan Teratai, Felda Bukit Aping Barat di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 malam itu, mangsa, Sazali Mohd Razak, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Proton Saga yang dipandu mangsa, sebuah Proton Wira dan van Toyota Hiace yang diparkir di hadapan sebuah rumah.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar dua kenderaan tersebut yang berada di kawasan parkir.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan serangan jantung.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa peka terhadap tahap kesihatan sebelum memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button