BERITA SEMASA

Pemandu Axia lawan arus didakwa hari ini

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki berusia 26 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini selepas tindakannya memandu Perodua Axia secara melawan arus sehingga kenderaan itu tersepit antara dua treler di Jalan Gelang Patah-Ulu Choh, tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pertuduhan terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

“Polis trafik Iskandar Puteri telah mengemukakan pertuduhan terhadap lelaki yang terlibat dalam kejadian tular di Gelang Patah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 8 Mei lalu, pada pukul 9 pagi apabila suspek memandu secara melawan arus sejauh 500 meter di Kilometer 4, Jalan Gelang Patah-Ulu Choh.

Suspek dipercayai tersalah masuk lorong ketika cuba menuju ke sebuah stesen minyak berhampiran.

Kejadian itu dirakam dalam dua video tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Axia tanpa nombor pendaftaran di bahagian hadapan tersepit di antara dua treler dalam kesesakan lalu lintas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button