Berita Semasa

Pemandu, 4 penumpang cedera bas rempuh treler

IPOH – Seorang pemandu dan empat penumpang cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan lori treler di Kilometer 290, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, semasa kejadian, bas terbabit membawa 25 penumpang termasuk tiga kanak-kanak perempuan dan seorang bayi lelaki.

Menurutnya, maklumat awal memaklumkan, insiden berlaku pada pukul 5.16 pagi selepas bas berkenaan hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang treler.

“Akibat perlanggaran, pemandu bas terbabit telah tersepit. Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan sebelum anggota memberi rawatan awal.

“Insiden turut mengakibatkan empat penumpang iaitu dua lelaki dan dua wanita cedera manakala penumpang lain terselamat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans.

Katanya, penumpang yang terselamat pula dihantar ke destinasi dituju menggunakan bas ekspres yang lain

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button