BERITA SEMASA

Pemakaian pelitup muka ketika solat sunat Aidilfitri digalakkan

Selari dengan SOP Fasa Peralihan ke Endemik

CYBERJAYA – Prosedur pemakaian pelitup muka ketika solat Hari Raya Aidilfitri dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) fasa peralihan ke endemik yang sedang berkuatkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pemakaian pelitup muka adalah digalakkan terutamanya ketika berada di kawasan ramai orang dan sesak.

Beliau menambah, Jakim atas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar telah mengadakan perbincangan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Luqman Abdullah mengenai pelaksanaan pemakaian tersebut.

“Setelah merujuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dimaklumkan bahawa SOP fasa peralihan ke endemik yang sedang berkuatkuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka jika berada di kawasan ramai orang dan sesak.

“Memandangkan SOP ini masih berkuatkuasa, Jakim ingin menasihatkan kepada semua umat Islam supaya mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri jika berada di tempat perkumpulan ramai dan sesak, termasuk di masjid dan surau,” kata Hakimah dalam satu dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mohd Na’im telah dipetik sebagai berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama ketua pengarah Jakim dan mufti Wilayah Persekutuan berhubung penetapan pemakaian pelitup muka semasa menunaikan solat Aidilfitri.

Beliau berkata, walaupun ia baik untuk langkah pencegahan berikutan terdapat peningkatan penularan kes Covid-19 ketika ini, sebarang ketetapan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka perlu dirujuk kepada kedua-dua institusi terbabit terlebih dahulu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button