BERITA SEMASA

Pemain tenis India maut ditembak bapa sendiri

NEW DELHI – Seorang pemain tenis wanita India, Radhika Yadav, maut selepas dipercayai ditembak oleh bapanya sendiri, Deepak Yadav, di kediaman mereka di Gurugram, Khamis lalu.

Difahamkan, Radhika sebelum ini aktif menyertai kejohanan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) dalam acara perseorangan dan beregu, sebelum menceburi bidang kejurulatihan.

Radhika kemudian dilaporkan bergiat aktif sebagai jurulatih di akademi miliknya di Gurugram.

Deepak mengaku dia menembak Radhika kerana sering diejek kerana hidup bergantung kepada pendapatannya, menurut sumber polis.

Menurut polis, akademi tenis yang dikendalikan oleh Radhika merupakan punca pertikaian antara bapa dan anak perempuan itu.

Suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan anaknya yang terus menguruskan akademi tenis di bandar itu walaupun telah berulang kali diarahkan supaya menghentikannya.

“Bapanya tidak gembira dengan perkara itu,” kata jurucakap polis Gurugram, Sandeep Singh.

Terdahulu, polis dimaklumkan oleh sebuah hospital swasta di bandar berkenaan mengenai kematian seorang wanita muda akibat kecederaan tembakan.

Walau bagaimanapun, sebaik tiba di hospital, hanya bapa saudara mangsa, Kuldeep Yadav, yang ditemui, bukan ibu bapa mangsa.

Laman web ITF merekodkan bahawa Radhika pernah beraksi dalam 36 perlawanan perseorangan dan tujuh perlawanan beregu sepanjang kerjayanya.

Penampilan terakhirnya dalam acara perseorangan adalah pada Mac 2024 manakala beregu pada Jun 2023.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button