BERITA SEMASA

Pelatih PLKN 3.0 siri pertama sifatkan program berjaya erat perpaduan kaum

PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dilaksanakan pada awal tahun ini dilihat telah memberi impak positif terhadap perpaduan kaum dalam kalangan pelatihnya.

Melalui program ini, para pelatih dari pelbagai latar belakang kaum diberi peluang untuk berinteraksi, bekerjasama dan memahami antara satu sama lain di samping memperoleh pelbagai ilmu ketenteraan.

Pelatih yang berjaya menamatkan PLKN 3.0 siri 1/2025, Irainjithan Narayenna, 22, berkata, PLKN bukan sahaja memberi fokus kepada aspek fizikal dan ketahanan mental, malah turut menekankan nilai-nilai perpaduan.

“Melalui latihan ini, saya dapat mengenali lebih dekat dengan pelatih dari kaum lain. Kami belajar untuk saling menghormati kerana sejak kebelakangan ini banyak berlaku insiden-insiden perkauman di Malaysia,” katanya.

Pelatih PLKN 3.0 siri 1/2025, Irainjithan Narayenna. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Tambah Irainjithan, walaupun menghadapi cabaran fizikal yang agak terbatas, dia tetap berjaya menghabiskan 45 hari latihan yang telah ditetapkan.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan PLKN 3.0 bagi siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah (515 AW) Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran.

Dalam ucapannya, Adly berkata, setiap pelatih telah didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran berdasarkan modul kenegaraan dan asas ketenteraan.

“Di samping itu, pendedahan mengenai pilihan kerjaya masa hadapan meliputi bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan industri, badan beruniform dan sukarela juga telah diberikan,” katanya.

Pelatih PLKN 3.0 siri 1/2025, Liew Vigene. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, seorang lagi pelatih, Liew Vigene, 22, menganggap pengalamannya sepanjang menjalani latihan adalah sebagai suatu perkara yang sangat berharga.

“Kami belajar untuk bekerja bersama dan saling membantu. Ini adalah pengalaman yang sangat berharga kerana ia mengajar kami untuk mengutamakan kepentingan bersama,” katanya sambil memuji tenaga pengajar yang telah banyak membantunya.

Pelatih PLKN 3.0 siri 1/2025,Ummi Haziqah. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam pada itu, Ummi Haziqah Mohd Jauhari, 19, mengajak golongan muda khususnya untuk menyertai PLKN bagi mengembangkan potensi diri.

“Kepada mereka di luar sana, jangan takut sekiranya terpilih untuk menyertai PLKN kerana banyak perkara yang awak akan belajar dalam suasana yang penuh cabaran dan bermanfaat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button