
Pelancaran Pejabat AI Kebangsaan langkah penting ke arah transformasi digital – Gobind
KUALA LUMPUR – Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) secara rasminya dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandakan langkah penting dalam usaha Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju serantau dalam kecerdasan buatan (AI) dan memacu transformasi digital global.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, adalah penting untuk negara membawa AI ke semua sektor dan menjangkau setiap lapisan masyarakat, daripada golongan muda hingga warga emas.
“Ini adalah untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dan semua rakyat mendapat manfaat daripada peralihan teknologi ini.
“Bayangkan sebuah negara di mana AI membantu para nelayan menentukan lokasi memancing terbaik; petani dapat mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan hasil ladang dan membolehkan pihak berkuasa tempatan mengurus bencana alam secara proaktif.
“Justeru itu, NAIO komited dalam memacu inovasi transformasi ini. Mari kita sama-sama bina ‘Negara AI’,” katanya yang menekankan impak transformasi AI terhadap negara.

Beliau berakata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran NAIO di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Athony Loke; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam majlis yang sama, turut diumumkan enam rakan kerjasama strategik yang mencerminkan pencapaian penting dalam perjalanan AI negara.
Enam rakan strategik tersebut adalah Toshiba, Global AI Village, YTL, Microsoft, Google, dan Amazon Web Services, yang akan mempercepatkan inovasi AI, mendorong penerimaan industri serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan AI.

Dipandu oleh MyDIGITAL Corporation buat tahun pertama perlaksanaan, NAIO yang diluluskan yang oleh Kabinet Malaysia pada 28 Ogos lalu, akan mengetuai usaha dalam penyelidikan, penerapan, dan pengkomersialan AI untuk memperkukuh ekonomi digital serta meningkatkan tahap perkhidmatan awam.
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata, acara hari ini turut menandakan ulang tahun pertama penubuhan Kementerian Digital.
“Masa depan adalah sekarang. Kita mesti mengambil langkah untuk mempersiapkan negara dan rakyat menghadapi cabaran dunia digital yang akan datang. Apabila kita bercakap tentang pendigitalan, kita memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama: infrastruktur, keselamatan, dan bakat,” katanya.
Tambah Gobind, beliau turut menegaskan bahawa untuk memupuk inovasi, menarik pelaburan dan membina keyakinan global terhadap keupayaan Malaysia, negara mesti memastikan kesalinghubungan yang kukuh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |