
Pelan Tindakan AI Kebangsaan: NAIO buka ruang orang ramai kemuka pandangan
KUALA LUMPUR – Kementerian Digital menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), kini membuka ruang kepada orang ramai untuk menyumbang pandangan dalam merangka Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan 2026–2030.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Digital memaklumkan langkah tersebut merupakan sebahagian daripada proses konsultasi awam bertujuan merangka hala tuju strategik pembangunan teknologi AI negara yang berimpak tinggi.
“Sebagai permulaan, satu soal selidik ringkas telah diperkenalkan bagi mengumpul maklum balas orang ramai berkenaan tahap kesediaan negara dalam era AI.
“Soal selidik turut merangkumi kebimbangan utama seperti penggantian tenaga kerja oleh automasi dan isu privasi data, serta aspirasi masyarakat terhadap peranan AI menangani cabaran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, setiap pandangan yang diterima akan dijadikan asas dalam merangka dasar dan inisiatif berkaitan AI agar lebih selari dengan keperluan sebenar rakyat.
“Pembangunan AI bukan hanya soal teknologi, tetapi soal masa depan rakyat dan negara. Justeru, suara rakyat adalah komponen penting dalam memastikan setiap strategi yang digubal benar-benar inklusif dan menyeluruh,” jelas NAIO.
Tambah kenyataan itu, sebagai agensi penyelaras utama bidang AI di peringkat nasional, NAIO dipertanggungjawabkan untuk memacu penerapan teknologi ini secara sistematik dan bersepadu merentasi pelbagai sektor.
Baca juga : Pejabat AI Kebangsaan perkukuh ekosistem digital, pacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi – PM
Pelan Tindakan AI Kebangsaan yang bakal digubal akan merangkumi pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi pengajian tinggi dan masyarakat umum.
Orang ramai yang ingin menyumbang pandangan boleh mengakses soal selidik tersebut melalui laman web rasmi NAIO serta saluran media sosial agensi berkenaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |