
Pelaksanaan menyeluruh pemberian gaji minima berisiko tingkatkan inflasi
PUTRAJAYA – Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 untuk semua sektor bermula 1 Julai 2023 berpotensi menyebabkan risiko peningkatan inflasi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bagaimanapun berkata, kerajaan telah membuat penilaian dan akan memastikan risiko inflasi itu mampu ditampung rakyat, menerusi kenaikan gaji secara berkala dan setimpal dengan peningkatan harga barangan.
“Kerajaan perlu mencapai keseimbangan dalam memastikan bahawa kita ada kenaikan gaji secara beransur-ansur.
“Sebahagiannya daripada gaji minimum. Kita juga berharap sebahagiannya lagi melalui dasar gaji progresif yang kita akan bentangkan nanti,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Ekonomi bersama warga Kementerian Ekonomi, di sini hari ini.
Untuk rekod, kertas dasar mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bulan depan.
Tambah beliau, kadar inflasi telah mereda kepada 2.8 peratus pada Mei, terendah dalam setahun dan kerajaan berharap dapat mengekalkan kadar inflasi yang stabil sekitar dua peratus.
“Yang berlaku sekarang ini adalah kenaikan gaji dilihat tidak dapat menanggung kenaikan harga barang.
“Jadi, akan sentiasa ada elemen yang apabila anda menumpukan pada peningkatan gaji, akan (ada) risiko inflasi naik sedikit tetapi perlu memastikan kenaikan gaji boleh menampung (kenaikan harga barangan),” kata Rafizi lagi.
Perintah gaji minimum RM1,500 untuk seluruh negara dilaksana bermula 1 Mei 2022, manakala bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, baru berkuatkuasa 1 Julai lalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |