BERITA SEMASA

Pelajar terlibat banjir di Sabah, Sarawak diberi kelonggaran daftar masuk – Zambry

PUTRAJAYA – ⁠Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) untuk memberikan kelonggaran dalam urusan pendaftaran kepada pelajar-pelajar yang terlibat dengan bencana banjir di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mereka yang terkesan boleh menghubungi pihak universiti masing-masing untuk memaklumkan keadaan sebenar.

“Kepada para pelajar bakal mahasiswa serta ibu bapa yang sedang berdepan dengan dugaan banjir, khususnya yang bakal mendaftar masuk ke universiti awam dalam masa terdekat, janganlah bimbang atau gusar.

“Pihak universiti akan membantu dan memberi ruang secukupnya demi memastikan tidak ada pelajar yang tertinggal peluang melanjutkan pengajian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, katanya, pihak KPT melalui Majlis Kesukarelawanan Siswa Universiti Malaysia (MASKUM) dan pasukan kesukarelawanan IPTA akan digerakkan bagi membantu kerja-kerja sukarelawan di kawasan terjejas, termasuk sokongan logistik, bantuan komuniti, dan pemulihan pasca banjir.

“⁠Sama-sama doakan agar banjir segera surut, keselamatan semua mangsa terjamin, dan proses pemulihan dapat berjalan lancar.

“Terima kasih kepada semua pihak yang turun membantu dan memberi sumbangan. Jaga diri dan jaga keselamatan semua. Semoga keadaan kembali pulih segera,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button