Pelajar tahfiz cemerlang 10A, amalan solat malam dan doa kunci kejayaan
JASIN – Kejayaan tidak datang bergolek, malah ia menuntut usaha, doa dan disiplin yang tinggi.
Itulah antara rahsia di sebalik kejayaan Fathi Afifi Mohd Shukor, 18, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Chenderah, di sini, yang memperoleh keputusan 10A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Anak sulung daripada empat beradik itu merupakan contoh pelajar yang menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan penghayatan agama.
Kedua ibu bapanya, Mohd Shukor Ismail dan Nor Aishah Madun yang masing-masing bergelar ustaz dan ustazah, menjadi tulang belakang serta sumber inspirasi utama dalam perjalanan pendidikannya.

Menurut Fathi Afifi, antara amalan hariannya termasuk bangun sebelum Subuh setiap hari untuk menunaikan solat tahajud, taubat dan hajat secara istiqamah.
Selain itu, dia tidak pernah lupa berdoa agar dikurniakan keputusan cemerlang setiap kali selepas solat.
Lebih membanggakan, doanya bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi turut disertakan doa khusus buat rakan-rakan dan guru-guru yang banyak membimbingnya.
“Bagi saya, doa dan reda ibu bapa sangat penting. Saya memang selalu mohon mereka doakan saya.
“Justeru, saya percaya doa mereka juga banyak membantu terhadap kejayaan yang saya peroleh hari ini,” ujar Fathi Afifi kepada Malaysia Tribune.
Ditanya mengenai masa depannya, dia mengakui menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tahfiz qiraat di Jordan sekiranya ada rezeki.
Namun katanya, jika tidak berpeluang ke sana, dia tetap bersyukur asalkan dapat meneruskan pengajian dalam bidang agama.
“Itupun sudah cukup membahagiakan,” ujarnya yang juga berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh tiga tahun.
Semoga kejayaan Fathi Afifi menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar agar bukan sahaja mengejar kecemerlangan akademik, tetapi juga memelihara hubungan rohani dengan Allah SWT dalam setiap langkah kehidupan.
Terdahulu, sekolah aliran agama di negeri Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan pencapaian cemerlang dalam keputusan SPM 2024 yang diumumkan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada 18 sekolah yang mencatatkan keputusan 100 peratus layak menerima sijil di negeri ini, 10 daripadanya adalah sekolah aliran agama yang berada di ketiga-tiga daerah termasuk kawasan luar bandar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






