
Pelajar pendidikan khas buktikan kekurangan bukan halangan raih PNGK 4.00
SELAYANG – Semangat luar biasa dua pelajar berkeperluan khas membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Goh Shi Ying, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Klang dan Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar, 20, dari St John’s Institution, Kuala Lumpur, masing-masing berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) maksimum 4.00.
Kedua-duanya turut menerima Anugerah Khas Calon Berkeperluan Pendidikan Khas pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2024 yang berlangsung di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), di sini, hari ini.
Nik Muhamad Ahnaf, anak sulung daripada empat beradik dilahirkan dengan masalah penglihatan namun semangat dan ketekunannya membolehkan beliau menguasai setiap mata pelajaran yang diambil.
“Saya banyak buat latihan, ulang kaji dan tidak malu bertanya guru. Cabaran utama adalah menyesuaikan diri di sekolah arus perdana tetapi selepas dua minggu saya mula berdikari,” katanya ketika ditemui.
Ahnaf yang bercita-cita menjadi pendidik menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG), dengan tekad mahu menyumbang dalam dunia pendidikan meskipun bergelar pelajar istimewa.
“Saya mahu jadi guru kerana guru pembina bangsa. Meskipun saya buta, saya percaya saya mampu,” katanya penuh yakin.
Sementara itu, Goh Shi Ying berdepan ujian getir apabila disahkan menghidap kanser tulang pada usia 13 tahun hingga menyebabkan sebahagian tulangnya digantikan dengan besi.
Namun semangat juangnya tidak pernah goyah.
“Saya buat nota sendiri, ulang kaji dan bantu ajar kawan-kawan. Ia bantu saya faham dan kukuhkan pembelajaran,” katanya yang kini menyimpan impian untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Shi Ying mengakui pernah berdepan kemurungan akibat kesihatannya namun sokongan moral daripada keluarga menjadi kekuatan utama untuk terus bangkit.
“Saya pernah rasa ‘down’ tetapi sokongan ibu bapa dan orang sekeliling buat saya kembali bersemangat,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |