Pelajar lepasan SPM, STPM dialu-alukan sambung pengajian di UKKM
KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang belum lagi menyambung pengajian untuk melanjutkannya di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
“Saya ingin mengalu-alukan belia lepasan SPM dan STPM yang belum mendapat tempat melalui program UPU (Unit Pusat Universiti) boleh memohon untuk melanjutkan pengajian di UKKM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemasyhuran Canselor dan Pro-Canselor UKKM yang diadakan di World Trade Center di sini.

Katanya bermula Julai ini, UKKM akan menerima 20 pelajar bagi setiap ambilan untuk program diploma dan ijazah sarjana muda.
Beliau yang juga Canselor pertama UKKM menekankan peranan penting UKKM sebagai pusat kecemerlangan yang menawarkan pendidikan khusus dalam bidang keusahawanan dan koperasi.
Ewon turut meyakini UKKM akan melahirkan usahawan serta pengurus koperasi yang berkaliber dan kompeten di peringkat antarabangsa.

Katanya, pelbagai inisiatif dan sokongan yang telah direncanakan UKKM untuk memacu sektor koperasi dan kemajuan ekonomi negara.
“Antara inisiatif utama adalah penglibatan UKKM dalam projek rintis Program Menoktahkan Kemiskinan di Sabah.
“Langkah ini diharap dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah melalui pendidikan berkualiti dan peluang peningkatan kemahiran,” katanya.
Sementara itu untuk pengetahuan umum, UKKM merupakan institusi pendidikan tinggi pertama di Malaysia yang berfokus kepada keusahawanan koperasi dan antara yang terawal di Asean.
Institusi ini dimiliki oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke UKKM, boleh berbuat demikian dengan melayari www.ukkm.edu.my atau cms.ukkm.edu.my/apply.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








