Lebih 130,000 pelajar antarabangsa pilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi
KUALA LUMPUR – Malaysia terus muncul sebagai antara hab pendidikan tinggi serantau apabila kini menarik lebih 130,000 pelajar antarabangsa dari 160 negara untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr
Zambry Abdul Kadir berkata, perkembangan itu mencerminkan keyakinan global terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia yang menekankan aspek inovasi, keterangkuman serta kualiti akademik bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau itu turut disokong melalui inisiatif ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarships (ASEAN GEMS) yang memperluas peluang mobiliti akademik pelajar di rantau ini.
“Melalui program seperti ASEAN GEMS, kita bukan sahaja mahu menggalakkan pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, tetapi juga memperkukuh kolaborasi penyelidikan antara negara-negara ASEAN dan Kesatuan Eropah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog Dasar EU-ASEAN Mengenai Pendidikan Tinggi: Memperkasa Pembangunan Bakat dan Kemahiran melalui Pengantarabangsaan di ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan komited memastikan pendidikan tinggi kekal sebagai pemangkin pembangunan bakat dan kemahiran global.
Jelas beliau, langkah itu selaras dengan Pelan Pendidikan Tinggi 2025–2035 yang akan memberi penekanan kepada pengiktirafan setara antara graduan universiti dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pendekatan itu penting bagi melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, malah mempunyai kemahiran dan nilai kemanusiaan sejagat untuk bersaing di peringkat antarabangsa,”katanya.
Pada masa sama, Zambry berkata, Malaysia turut memberi tumpuan kepada penawaran program-program akademik berimpak tinggi yang memenuhi keperluan pasaran global, termasuk dalam bidang teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan digital.
Beliau berkata, KPT kini sedang memperkukuh jaringan kerjasama dengan universiti luar negara bagi membolehkan lebih banyak program berkembar serta pertukaran akademik dilaksanakan, sekali gus meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam landskap pendidikan antarabangsa.
“Kita mahu memastikan sistem pendidikan tinggi negara bukan sahaja menghasilkan graduan cemerlang untuk pasaran tempatan, tetapi juga menjadi pusat rujukan serantau yang diiktiraf dunia,” tambah beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






