BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Pelaburan Hematogenix seiring NIMP2030 lonjak tenaga kerja mahir – Tengku Zafrul

CYBERJAYA – Pelaburan syarikat Hematogenix di Malaysia disifatkan selari dengan aspirasi Pelan Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir serta berpendapatan tinggi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan syarikat antarabangsa itu memilih Malaysia sebagai hab operasi mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap ekosistem tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

“Hematogenix bukan sekadar membuka makmal di Malaysia, mereka juga membawa masuk kajian serta inovasi yang mampu mengubah masa depan kita,” katanya menerusi satu hantaran video di media sosial semalam.

Hematogenix merupakan syarikat penyelidikan dan ujian klinikal berfokus kepada pembangunan ubat kanser baharu, dengan rangkaian pelanggan terdiri daripada syarikat farmaseutikal terkemuka dunia termasuk Pfizer, AstraZeneca dan Merck.

92 peratus kakitangan di makmal Hematogenix menerima gaji bulanan RM5,000 ke atas.

Makmal Hematogenix di Cyberjaya adalah satu-satunya kemudahan syarikat itu di Asia Tenggara, yang setakat ini telah mengendalikan 18 kajian klinikal dan memproses lebih 2,000 sampel biologi dari seluruh rantau Asia Pasifik.

Menurut Tengku Zafrul, keutamaan jelas diberikan kepada rakyat tempatan apabila 92 peratus tenaga kerja di situ adalah warga Malaysia, dengan 81 peratus daripadanya terdiri daripada penyelidik R&D. Menariknya, hampir semua pekerja berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan.

“Hematogenix menjadi bukti bahawa kepakaran anak Malaysia diiktiraf di pentas antarabangsa. Peluang pekerjaan yang diwujudkan turut memberi keutamaan kepada rakyat tempatan,” jelasnya.

Makmal berstatus Global Central Reference Laboratory itu turut berperanan sebagai pusat rujukan utama kajian kanser dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang bioteknologi dan penyelidikan perubatan.

Tambah beliau, kerajaan akan terus menyokong pelaburan strategik yang bukan sahaja membawa teknologi baharu, malah memperkasa kemahiran serta kualiti tenaga kerja negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button