BERITA SEMASA

Pekerja gig ada maruah, perlu dibela – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR – Pekerja gig mempunyai maruah dan masa depan yang perlu dibela, justeru penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) khas bagi ekonomi gig adalah titik permulaan penting untuk melindungi kira-kira 1.2 juta pekerja di negara ini.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, realiti semasa memperlihatkan pekerja gig berdepan pelbagai cabaran termasuk ketiadaan perlindungan insurans, akaun digantung tanpa ruang rayuan serta tiada kuasa merunding harga dengan syarikat.

Pekerja gig ada maruah, perlu dibela – Nurul Izzah
Nurul Izzah dan Steven Sim

“Ramai pemandu dan penghantar makanan hidup cukup-cukup makan. Ada yang terpaksa menanggung penderitaan selepas kemalangan tanpa sebarang pampasan.

“Sebab itu dalam RUU ini, ditetapkan syarat wajib semua pekerja gig dilindungi PERKESO tanpa pengecualian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Nurul Izzah, beliau bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pernah turun padang termasuk menyamar sebagai pengguna e-hailing untuk mendengar sendiri keluhan pekerja gig.

Antara isu yang dibangkitkan ialah aduan palsu pelanggan yang menyebabkan akaun pekerja digantung tanpa mekanisme rayuan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Masalah ini serius. Saya cadangkan tribunal khas diwujudkan supaya semua aduan pekerja gig boleh terus dibawa ke sana. Jika syarikat besar enggan beri kerjasama, mereka boleh dikenakan denda berat,” jelasnya lagi.

Selain itu, katanya, penubuhan majlis khas yang menyatukan kerajaan, syarikat dan wakil pekerja gig juga penting bagi membincangkan isu-isu harga agar pekerja tidak terus ditekan.

“Dengan adanya platform ini, barulah pekerja gig mempunyai suara dan kuasa, bukan dipijak mentah-mentah,” katanya.

Nurul Izzah turut mengingatkan masyarakat tentang sumbangan besar pekerja gig semasa pandemik COVID-19, apabila mereka bertungkus-lumus memastikan kelangsungan hidup rakyat dan peniaga.

“Pekerja gig ada maruah, ada masa depan. Mereka perlu diiktiraf dalam undang-undang perburuhan negara. Inilah titik permulaan baharu untuk mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button