BERITA SEMASA

Pegawai terlibat isu Jalur Gemilang tidak lengkap sudah dikenal pasti – KSN

PUTRAJAYA – Pegawai yang terlibat dalam isu paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu, sudah dikenal pasti.

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan masih berjalan dan sebarang tindakan yang diambil akan mengikut prosedur Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), lapor Buletin TV3

“Tindakan disiplin akan diambil melalui Lembaga Tatatertib yang terletak di bawah JPA. Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu bagi pegawai Gred 48 dan ke bawah, ia dikendalikan oleh kementerian terbabit.

“Manakala bagi Gred 48 ke atas, siasatan dan tindakan akan diambil oleh JPA sendiri,” katanya.

Shamsul Azri berkata demikian selepas hadir pada Persidangan Badan Antirasuah Asia Tenggara: Mengimbas Kembali Kenyataan Jakarta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PIC), di sini hari ini.

Kesilapan paparan Jalur Gemilang tersebut diterbitkan dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM, minggu lepas.

Imej yang mempunyai kesalahan itu dipercayai dijana menggunakan kepintaran buatan (AI) dan dipaparkan pada muka surat 15 laporan tersebut.

Susulan kejadian, Kementerian Pendidikan (KPM) memohon maaf atas kesilapan tersebut dan memaklumkan tindakan tegas dan serta-merta telah diambil ke atas semua yang terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button