BERITA SEMASA

PDRM sedang siasat GISB – Ayob Khan

BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan ke atas Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang berkata, ia susulan empat laporan yang diterima di sekitar Selangor.

“Ini adalah laporan yang terbaharu. Mungkin ada lagi di negeri lain yang kita sedang kumpulkan dan kita akan maklumkan kemudian.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 200 kerana mengeksploitasi kanak-kanak untuk mengutip dana, derma dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi Universiti Awam ke-20 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, modus operandi organisasi itu dikesan mengeksploitasi ahli dan kanak-kanak melalui penubuhan rumah amal dan kebajikan bagi tujuan kutipan derma.

Katanya, ahli organisasi itu juga dipercayai tidak dicarum melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain dikenakan tindakan kuarantin sekiranya melakukan kesalahan.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, organisasi itu yang dipercayai serpihan daripada kumpulan ajaran sesat turut berada dalam senarai pemantauan Cawangan Khas PDRM.

“Daripada senarai yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), sebanyak 154 ajaran sesat dipantau.

“Di pihak PDRM pula, kita ada 114 yang mana daripada jumlah ini, kira-kira 14 kumpulan aktif manakala 8 lagi di dalam pemantauan termasuklah GISB,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengesahkan akan mengadakan libat urus dengan wakil syarikat GISB.

Ia ekoran pelbagai dakwaan terpalit berhubung organisasi tersebut yang didakwa mempunyai kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa, antaranya mengekploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta dan menjalankan perniagaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button