
PBT tunda kenderaan terbiar di kuarters kerajaan Putrajaya
PUTRAJAYA – Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini melaksanakan operasi bersepadu menunda kenderaan buruk, tersadai dan terbiar (KBT) di beberapa kawasan kuarters kerajaan sekitar Putrajaya.
Operasi yang bermula seawal pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu melibatkan tujuh lokasi utama, antaranya Fasa 5R3, Presint 5, Fasa 5 dan 6; Presint 9,Fasa 7; Presint 9,Fasa 12; Presint 9, Fasa 18R2; Presint 8, Zon 6B; Presint 11; dan Presint 14, Fasa 14-7.
Operasi diketuai oleh Timbalan Setiausaha Bahagian BPH, Sharez Izuan Md Zaidi bersama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohd Fauzi Ismail dengan kerjasama Unit Penguatkuasa PPj dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Sharez Izuan, operasi itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh prinsip Malaysia MADANI, khususnya dalam memastikan persekitaran kuarters yang bersih, selesa dan teratur.
“Tindakan ini diambil bagi mengutamakan keselesaan penghuni kuarters. Ia juga untuk memastikan petak parkir tidak terus disalahgunakan oleh kenderaan yang tidak lagi digunakan,” katanya dalam satu kenyataan selepas operasi hari ini.
Tambahnya lagi, sejak awal tahun 2024, lebih 1,000 notis serta peringatan telah dikeluarkan kepada pemilik KBT agar mengalihkan kenderaan mereka, namun kegagalan sistem demerit sebelumnya menjejaskan tindakan susulan yang berkesan.
“Sistem sedia ada tidak cukup efektif. Maka, tindakan tegas ini wajib dilaksanakan bagi mengelak kawasan kuarters dijadikan tempat longgokan kenderaan terbiar,” tegas beliau.
Pihak berkuasa turut mengingatkan bahawa petak parkir di kawasan kuarters kerajaan merupakan kawasan terbuka yang dikongsi bersama dan bukannya milik individu.
Pengecualian hanya diberikan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kebenaran khas.
Dalam pada itu, larangan juga dikenakan ke atas kenderaan yang diletakkan di kawasan tidak dibenarkan, menghalang laluan serta cubaan menanda tempat letak kereta sebagai hak milik peribadi.
Operasi tersebut melibatkan dua pasukan penguat kuasa bersama jentera trak pikap bagi menunda kenderaan yang dikenal pasti di kawasan parkir terbuka serta parkir basement apartmen.
Kerja-kerja penundaan akan diteruskan secara berperingkat mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan dipersetujui oleh BPH, PPj, PDRM serta Seksyen Pengurusan Kuarters.
“Amaran ini bukan hanya bersifat sementara. Kita akan teruskan tindakan ini demi kebaikan bersama,” kata Mohd Fauzi Ismail.
Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi peraturan dan tidak menyalahgunakan kemudahan parkir di kawasan kediaman kuarters kerajaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |