BERITA SEMASA

Pasangan kekasih ditahan disyaki abai dua anak, dibiar kelaparan

SUBANG JAYA – Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan polis kerana disyaki mengabaikan dua anak perempuan wanita berkenaan termasuk tidak menyediakan makanan di sebuah rumah di Puchong, Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, penahanan dilakukan pada Rabu lalu selepas pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Siasatan awal mendapati wanita berusia 37 tahun dan teman lelakinya berusia 42 tahun tinggal bersama dua anak perempuan wanita itu yang masing-masing berusia empat dan 16 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah manakala semakan lanjut menunjukkan dia mempunyai lapan rekod jenayah berkaitan kes narkotik.

Ujian terhadap wanita berkenaan pula didapati negatif.

Menurut Wan Azlan, pemeriksaan kesihatan terhadap kedua-dua mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan fizikal atau parut lama.

“Namun siasatan mendapati dua beradik itu tidak diberi makan walaupun tidak dikurung secara fizikal.

“Kediaman yang didiami juga berada dalam keadaan kotor, tidak selamat dan tidak sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.

Tambah beliau, remaja berusia 16 tahun itu turut mengalami tekanan perasaan akibat pengabaian yang dialami.

Kedua-dua mangsa kini ditempatkan di hospital untuk pemantauan lanjut manakala pasangan tersebut direman sehingga 10 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button