BERITA SEMASALUAR NEGARA

Parti Pekerja gesa had umur mengundi diturun, iktiraf Palestin dalam manifesto pilihan raya

SINGAPURA – Parti pembangkang utama di Singapura, Parti Pekerja, tampil dengan manifesto pilihan raya yang komprehensif menjelang Pilihan Raya Umum bulan depan, dengan cadangan utama termasuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, memperkenalkan gaji minimum nasional dan mengiktiraf secara rasmi Negara Palestin.

Menerusi pelancaran manifesto bertajuk ‘Working For Singapore’ yang diterbitkan di laman rasmi parti itu semalam, Parti Pekerja menggariskan 125 cadangan melibatkan lima bidang utama iaitu kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi dan peluang, keterangkuman dan kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan demokrasi, serta keselamatan dan geopolitik.

Antara cadangan utama yang diketengahkan ialah pengecualian lebih banyak barangan keperluan asas termasuk makanan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), bagi mengurangkan tekanan inflasi ke atas isi rumah berpendapatan rendah dan memberikan kelegaan kepada kumpulan berpendapatan pertengahan.

Parti itu turut mencadangkan pelaksanaan skim insurans kehilangan kerja melibatkan caruman bersama antara majikan dan pekerja tempatan bagi melindungi pekerja yang diberhentikan.

“Parti Pekerja percaya perlindungan kepada pekerja perlu diperkukuh, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi,” memetik laporan NST online.

Dalam aspek tenaga kerja, Parti Pekerja turut mengusulkan pemansuhan umur persaraan wajib, membolehkan pekerja berusia terus bekerja sekiranya mereka berhasrat berbuat demikian.

Bagi memperkukuh aspek kesaksamaan dan penghormatan terhadap kepercayaan agama, Parti Pekerja mencadangkan supaya Thaipusam diiktiraf semula sebagai cuti umum kebangsaan, menjadikan jumlah cuti umum di negara itu sebanyak 12 hari.

Menyentuh soal dasar luar, Parti Pekerja mencadangkan agar Singapura mengiktiraf Negara Palestin sebelum penyelesaian dua negara dimuktamadkan.

“Kami menyokong penyelesaian dua negara yang dirundingkan di mana Israel dan Palestin boleh hidup berdampingan secara aman dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf. Pengiktirafan ini akan mengukuhkan pendirian kami,” menurut kandungan manifesto itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Pekerja, Pritam Singh pada sidang media semalam enggan mendedahkan jumlah calon dan kawasan yang akan ditandingi parti itu.

Dalam pilihan raya umum 2020, Parti Pekerja meletakkan 21 calon di tiga kawasan GRC dan dua kawasan SMC serta memenangi 10 kerusi Parlimen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button