
Parlimen Korea Selatan luluskan pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol
SEOUL – Parlimen Korea Selatan yang diketuai pembangkang hari ini memecat Presidennya, Yoon Suk Yeol susulan percubaannya pada minggu lalu mengisytiharkan undang-undang tentera di negara itu.
Daripada 300 ahli parlimen, 204 menyokong pemecatan, 85 menolak, tiga berkecuali dan lapan undi dibatalkan.
Di bawah perlembagaan, Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck Soo, akan menjadi pemangku Presiden, sementara kuasa Suk Yeol sebagai Presiden digantung.
Suk Yeol sebelum ini terselamat daripada undian pemecatan pertama pada minggu lalu apabila partinya memboikot undian, sekali gus menafikan kuorum kepada Parlimen.
Terdahulu, Suk Yeol mengejutkan Korea Selatan pada 3 Disember lalu apabila memberikan kuasa kecemasan yang luas kepada tentera untuk menghapuskan apa yang beliau gelar sebagai ‘kuasa anti-negara’ dan mengatasi penentangan daripada pihak pembangkang.
Bagaimanapun, beliau menarik semula pengisytiharan itu dalam tempoh enam jam selepas parlimen menolak perintah terbabit walaupun dihalang oleh pasukan tentera dan polis.
Tindakan itu menyebabkan krisis perlembagaan dan mencetuskan gesaan meluas agar beliau meletakkan jawatan atas dakwaan melanggar undang-undang.
Suk Yeol kemudian memohon maaf kepada negara, bagaimanapun beliau tetap mempertahankan tindakannya dan menolak desakan untuk berundur.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |