BERITA SEMASA

Papar wajah pemimpin pembangkang: 4 pegawai JAIM dikenakan tindakan

MELAKA – Empat pegawai termasuk seorang Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dikenakan tindakan tatatertib susulan kecuaian memasukkan gambar pemimpin politik dalam paparan video khutbah Jumaat di negeri itu, minggu lalu.

Memetik laporan BH Online, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan termasuk memecat dan menukar jawatan itu diambil berikutan kecuaian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri terbabit.

Dalam masa, katanya, JAIM memberi jaminan kesilapan seumpama itu tidak akan berulang, malah menganggap isu berkenaan sudah selesai.

“JAIM secara tuntas sudah menjalankan siasatan dan didapati kejadian (paparan gambar seorang pemimpin pembangkang) memang benar berlaku dan mereka yang terbabit sudah mengaku meletakkan gambar pemimpin berkenaan.

“Justeru, JAIM memohon maaf atas kesilapan beberapa pegawai yang menyiapkan paparan serta info grafik berkenaan dan tindakan tatatertib sudah diambil ke atas mereka termasuk memberhentikan dan menukar perjawatan mereka ke jabatan serta daerah lain.

“Ia satu kesilapan besar dan tindakan ke atas mereka adalah wajar. Saya harap tidak berlaku lagi selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Al-Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas, di sini yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, dekat sini, hari ini.

Khutbah Jumaat bertajuk `Negaraku, Tanah Airku’ yang disediakan Bahagian Pengurusan Masjid JAIM bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu mencetuskan perdebatan hangat apabila paparan dan info grafik khutbah dikendalikan JAIM yang disiarkan di papan layar di semua masjid itu memaparkan wajah seorang ketua parti pembangkang.

Wajah pemimpin pembangkang berkenaan diletakkan bersebelahan dengan sepotong ayat berbunyi “Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia’.

Dalam paparan berasingan, turut terdapat wajah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa digantikan dengan gambar Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button