Panglima TUDM cipta sejarah terima anugerah Beret Biru PASKAU
KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyaksikan sejarah tercipta apabila Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris menjadi panglima pertama dianugerahkan Beret Biru Pasukan Khas Udara (PASKAU) oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengurniaan beret berprestij itu melambangkan pengiktirafan tertinggi kepada keberanian, ketahanan serta komitmen luar biasa Muhamad Norazlan dalam memahami peranan dan cabaran pasukan khas elit TUDM di lapangan.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (MINDEF), Panglima Tentera Udara telah menyertai Latihan Pasukan Khas Udara (PASKAU) selama hampir dua bulan bermula 28 Ogos hingga 17 Oktober 2025, sekali gus menzahirkan kepimpinan berjiwa besar yang sanggup turun padang bersama anggota pasukan khas negara.
Antara modul intensif yang disertai beliau termasuk Latihan Menembak Senjata Khas, Latihan Menyelamat Tebusan, Menembak Tepat Dari Udara, Jalan Lasak, Penyusupan dan Pengunduran Menggunakan Helikopter, Latihan Payung Terjun Bebas.

“Kejayaan Muhamad Norazlan itu disifatkan sebagai manifestasi kepimpinan melalui teladan, mencerminkan keazaman dan komitmen beliau untuk memahami keupayaan serta kesiapsiagaan sebenar anggota pasukan khas TUDM.
“Seluruh warga TUDM turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas pengurniaan beret bersejarah tersebut yang bukan sahaja menandakan pengiktirafan kepada kepimpinan tertinggi tentera udara, tetapi juga menjadi suntikan semangat baharu kepada seluruh warga TUDM untuk terus berbakti dengan penuh dedikasi kepada negara,” kata MINDEF.


| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








