Panglima TDM puji keberanian anggota selamatkan empat remaja daripada lemas
KUALA LUMPUR – Tindakan berani Sarjan Mohd Nor Khalid menyelamatkan empat remaja yang hampir lemas di Puncak Alam pada 24 November lalu menerima pujian Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Semoga tindakan berani Sarjan Mohd Nor Khalid ini akan menjadi contoh dan tauladan buat seluruh warga TDM,” kata Muhammad Hafizuddeain dalam satu kenyataan dimuat naik di media sosial, hari ini.

Dalam kejadian pada 24 November itu, enam remaja berusia 13 tahun difahamkan sedang memancing di sebuah tasik di Puncak Alam dengan menaiki sebuah sampan.
Bagaimanapun, sampan tersebut kemudian karam, menyebabkan empat daripada mereka nyaris lemas.
Dua lagi mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi tasik.
Sarjan Mohd Nor yang berada di tempat kejadian setelah menerima maklumat daripada kumpulan Whatsapp taman perumahannya, kemudiannya berjaya menyelamatkan mangsa tersebut daripada lemas.
Beliau yang bertugas sebagai Ketua Sel Semboyan di 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja, Sungai Buloh mengakui mempunyai kemahiran berenang, tetapi mengakui agak gementar kerana tidak biasa dengan kawasan tasik berkenaan.
“Saya bukan mahu tunjuk hebat atau jadi hero tetapi ini memang sudah menjadi keutamaan kita untuk membantu jika mempunyai keupayaan itu.
“Sebagai seorang bapa, saya faham kita mesti mahu anak selamat, jadi saya cuba sedaya upaya menyelamatkan mereka,” katanya dalam satu laporan media, kelmarin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








