
Pampasan tak perlu sama rata, Khalid Samad tegur peguam PM berhubung isu Kampung Sungai Baru
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan menerima nasihat yang tidak tepat daripada barisan peguamnya berhubung isu pampasan kepada pemilik tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Menurut Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, peguam-peguam kerajaan memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa jika pampasan kepada pemilik yang belum bersetuju dinaikkan, maka semua pampasan terdahulu perlu diselaraskan semula.
Katanya, itu adalah satu pandangan yang tidak berasas dan mengelirukan.
“Saya bawa isu ini kepada PMX secara terus. Dia kata, peguam-peguamnya maklumkan bahawa jika pampasan dinaikkan kepada yang tak setuju, pampasan untuk semua perlu diubah.
“Tapi saya rasa itu nasihat yang salah – kerana ini melibatkan dua operasi yang berasingan,” tegas Khalid seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.
Menurut bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, pemilik yang telah bersetuju dengan tawaran pampasan telah melalui proses lengkap dan menerima bayaran – maka, urusan mereka telah pun dimuktamadkan dan tidak perlu disentuh semula.
Sebaliknya, pemilik yang tidak bersetuju masih melalui proses perundingan dan penilaian baharu, dan wajar diberikan pampasan yang adil berdasarkan nilai semasa.
“Mereka yang dah setuju – selesai. Yang belum setuju, proses mereka masih berjalan. Tak timbul isu semua perlu diselaraskan semula,” katanya.
Khalid turut menyifatkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) semasa era kerajaan Perikatan Nasional sebagai terlalu rendah dan tidak mencerminkan nilai sebenar tanah di kawasan berkenaan.
Beliau mencadangkan agar nilai pampasan ditingkatkan sehingga RM1,000 kaki persegi, berdasarkan kedudukan strategik dan nilai pasaran semasa.
“Tanah di sebelah Kampung Sungai Baru – yang diambil untuk projek Lebuhraya AKLEH – nilainya jauh lebih tinggi daripada RM450 kaki persegi.
Ini sangat tidak munasabah,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid menggesa Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani supaya tampil lebih ke depan memperjuangkan nasib penduduk Kampung Baru termasuk Kampung Sungai Baru.
Katanya, sebagai anggota kabinet, Johari boleh membawa isu ini terus kepada Perdana Menteri.
Beliau turut menyarankan agar Anwar mengarah JPPH memberi penjelasan terbuka mengenai kaedah penilaian yang digunakan.
“Kalau nilai yang diberikan terlalu rendah dan tak munasabah, maka perlu disemak semula dan dinaikkan. Ini bukan soal teknikal semata-mata, ini soal keadilan kepada rakyat,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |