
45 maut akibat banjir dan hujan lebat di Pakistan
ISLAMABAD — Sekurang-kurangnya 45 terkorban susulan hujan lebat berterusan dan banjir kilat yang melanda beberapa wilayah di negara ini berikutan musim tengkujuh.
Menurut kenyataan pihak berkuasa pengurusan bencana, wilayah Khyber Pakhtunkhwa mencatatkan angka korban tertinggi dengan 21 kematian, termasuk 10 kanak-kanak.
“Wilayah itu terletak berhampiran sempadan Afghanistan dan terdedah kepada risiko bencana berikutan kedudukannya yang berbukit dan beraliran sungai.
“Sebanyak 14 mangsa dilaporkan maut di Lembah Swat apabila arus deras banjir kilat menghanyutkan beberapa keluarga yang tinggal di kawasan penempatan berhampiran tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan.
Di wilayah Punjab, 13 kematian direkodkan sejak Rabu lalu.
“Lapan daripadanya merupakan kanak-kanak yang maut selepas struktur rumah runtuh akibat hujan berterusan, manakala selebihnya terkorban dalam kejadian banjir kilat,” jelasnya.
Sementara itu, 11 lagi mangsa dilaporkan maut di wilayah Sindh dan Balochistan, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat mendadak dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Jabatan Meteorologi Pakistan menjangkakan hujan lebat dan banjir kilat akan terus melanda sehingga sekurang-kurangnya Sabtu ini, terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai yang berisiko tinggi.
Pakistan yang terletak di Asia Selatan turut berdepan siri fenomena cuaca ekstrem sejak awal tahun ini, termasuk ribut luar musim dan hujan batu.
“Situasi cuaca ketika ini menunjukkan pola yang membimbangkan dan memerlukan tahap kesiapsiagaan lebih menyeluruh daripada semua agensi berkaitan,” jelasnya.
Susulan itu, pihak berkuasa sedang melaksanakan operasi pemindahan mangsa serta menyalurkan bantuan kecemasan kepada komuniti yang terjejas, khususnya di kawasan pedalaman yang sukar diakses akibat keadaan jalan yang terputus hubungan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |