
Pakar bedah digantung tugas: 17 kanak-kanak cacat saraf tunjang turut terkesan
PETALING JAYA – Seramai 17 kanak-kanak yang menghidap kecacatan saraf tunjang kini berdepan masa depan tidak menentu selepas pakar bedah saraf yang dijadualkan merawat mereka digantung tugas sejak 10 Januari lalu susulan dakwaan gangguan seksual.
Penyelidik perubatan, Noraishah Mydin Abdul Aziz, yang merupakan sebahagian daripada pasukan pakar merawat 30 kanak-kanak spina bifida berkata, penangguhan pembedahan boleh memberi kesan sepanjang hayat kepada mereka.
“Rawatan susulan selepas pembedahan juga terjejas akibat penggantungan pakar bedah itu.
“Beliau mempunyai kadar kejayaan pembedahan neurosurgeri tertinggi di negara ini.
“Tambahan pula, pemegang kad OKU tidak perlu membayar untuk prosedur tertentu di hospital tempat beliau bertugas,” katanya memetik laporan FMT.
Seorang bapa, Zulhilmi Zulkarnain berkata, anaknya Zil Zikri, 6, sepatutnya menjalani pembedahan saraf tunjang bulan lalu, namun ia ditangguhkan tanpa tarikh baharu selepas pakar tersebut digantung tugas.
“Zikri memakai pendakap kaki kerana keadaannya menyebabkan kakinya tertarik ke atas secara tidak sengaja. Kami berharap pembedahan ini dapat memperbaiki keadaannya.
“Tetapi sekarang, saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Kami benar-benar berharap agar tarikh pembedahan dapat diberikan secepat mungkin kerana dia sangat memerlukannya,” katanya lagi.
Seorang lagi ibu, Nurul Syafa Wati Ismail, turut menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan anaknya, Rizqi Ariq, 5, yang mempunyai janji temu dengan pakar tersebut pada Mei, namun ia juga dibatalkan.
“Saya tidak ada rancangan untuk mencari rawatan di tempat lain. Saya percaya dengan kebolehan pakar bedah ini. Tambahan pula, rawatan di hospital ini percuma bagi pemegang kad OKU,” katanya lagi.
Rizqi kini boleh berjalan seperti biasa selepas menjalani pembedahan dengan pakar tersebut, namun masih memerlukan pemeriksaan berkala sehingga berusia 18 tahun bagi memastikan pertumbuhan saraf tunjangnya normal.
Noraishah berkata, pasukan rawatan terdiri daripada pakar bedah yang digantung itu, seorang pakar urologi, dan dirinya sendiri.
Beliau menegaskan bahawa pasukan mereka mempunyai rekod kejayaan yang terbukti dalam membantu kanak-kanak spina bifida.
“Setiap kanak-kanak dengan spina bifida yang menjalani pembedahan sebelum usia dua tahun kini boleh berjalan seperti biasa, manakala 80 peratus daripada mereka tidak lagi memerlukan kateter,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau merayu kerajaan membenarkan pakar tersebut kembali bertugas buat sementara waktu sehingga siasatan selesai.
“Saya hanya meminta siasatan dipercepatkan. Jika ada bukti, biarlah proses perundangan berjalan seperti sepatutnya,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |