
Pak Lah tidak suka bermusuh, sentiasa utamakan kepentingan negara dan rakyat – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dikenang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar dan sentiasa merendah diri, demikian kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menteri Pertahanan itu berkata, Allahyarham yang menerajui tampuk pemerintahan negara dari tahun 2003 hingga 2009, juga adalah seorang pemimpin yang selalu mengutamakan kepentingan rakyat, negara serta partinya.
“Saya berpeluang berkhidmat di bawah pentadbiran beliau selama lima tahun, dari 2004 hingga 2009. Saya bukan sahaja mengenali beliau dari sudut profesional, malah secara peribadi.
“Sesungguhnya saya percaya, sumbangannya kepada negara amat besar dan akan terus dikenang rakyat,” kata Khaled yang juga bekas Anggota Kabinet beliau.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Majlis Hari Raya Kementerian Pertahanan yang dihadiri lebih 9,000 tetamu di ibu negara hari ini.
Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah bacaan tahlil ringkas bagi mengenang Allahyarham Tun Abdullah.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, Abdullah atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’ sentiasa mengutamakan prinsip keamanan dan keharmonian, tidak gemar bermusuh dan meletakkan kepentingan negara, rakyat serta parti melebihi kepentingan peribadinya.
“Saya masih ingat masa saya menjawat jawatan Menteri Usahawan dan Pembangunan Koperasi, beliau sentiasa memberi dorongan dan nasihat dalam mengangkat agenda Bumiputera dan pendidikan rakyat di negara ini,” katanya lagi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa keluar dari kediamannya di Bait Badawi, persiaran Tuanku Jaafar sekitar 8.10 pagi untuk dikafankan dan disolatkan di Masjid Negara.
Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi.
IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Abdullah dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu selepas mengalami kesukaran bernafas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |