BERITA SEMASA

Orang awam gagalkan cubaan ragut beg tangan

KANGAR – Tindakan pantas orang awam berjaya menggagalkan cubaan ragut beg tangan seorang pengurus pemasaran syarikat jualan kereta di kawasan parkir Pasar Pagi Medan Mahkota, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 49 tahun sedang membuka pintu belakang kereta Perodua Axia miliknya di tepi tandas awam apabila didatangi seorang lelaki dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek yang berusia 37 tahun itu, memeluk badan mangsa dari belakang dan cuba merampas beg silang yang dipakai mangsa.

“Menyedari dirinya cuba disamun, mangsa menjerit untuk meminta pertolongan. Suspek berjaya merampas beg milik mangsa dan cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeritan mangsa menarik perhatian orang ramai di kawasan berhampiran dan mereka bertindak pantas mengejar suspek.

Tindakan berani orang awam itu berjaya menahan suspek tidak jauh dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke Balai Polis Kangar untuk siasatan lanjut.

Mangsa dilaporkan mengalami luka pada kedua-dua lutut dan trauma akibat kejadian tersebut dan kemudian membuat laporan polis.

Suspek kini ditahan dan akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button