
Operasi SAR mangsa tanah jerlus Masjid India dihentikan hari ini
KUALA LUMPUR – Selepas mengambil kira isu keselamatan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang akibat terjatuh dalam lubang tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, Jumaat minggu lalu, dihentikan hari ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa,
keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan pasukan SAR, orang ramai dan kawasan sekitar.
Ujar beliau, keputusan itu dicapai
hasil perbincangan dengan semua agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain pakar pelbagai agensi.
“Keselamatan ini ada beberapa perkara. Pertama, keselamatan anggota SAR yang turun ke bawah mencari mangsa… arus deras dan sebagainya membahayakan anggota kita.
“Kedua, keselamatan kawasan sekitar kerana seperti kita tahu, kita lihat kesan seperti mendapan kedua. Ini juga beri kebimbangan.
“Ketiga, kita perlu segera benarkan untuk aktiviti harian diteruskan di sini, tetapi dalam masa yang sama kita tak ketepi hal keselamatan pengunjung,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Jelas Dr. Zaliha, fasa seterusnya ialah pencarian dan pemulihan yang akan dikendalikan PDRM.
“Ada beberapa perkara juga kita akan lakukan, pertama oleh pihak DBKL sendiri antaranya pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah di seluruh Kuala Lumpur.
“Kita perlu juga buat sesi libat urus dengan peniaga untuk kita bantu mereka meneruskan aktiviti di sini kembali,” ujarnya.
Tambahnya, DBKL juga akan melakukan proses pemulihan dan pembangunan semula di kawasan Masjid India, meliputi kawasan sejauh 100 meter dari tempat kejadian.
Beliau turut menegaskan sekali lagi bahawa semua pembangunan baharu di Kuala Lumpur perlu membuat pelaporan geoteknikal terlebih dahulu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






