
Op Selamat 24: Lebih 6,000 anggota trafik dikerah sempena Aidilfitri
KUALA LUMPUR – Seramai 6,957 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dikerahkan bagi melaksanakan Op Selamat 24 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi yang bermula 29 Mac hingga 3 April itu bertujuan mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya serta memastikan aliran trafik lebih lancar sepanjang musim perayaan.
“Sebanyak 25 kawasan panas yang sering mengalami kesesakan dan 46 lokasi hitam di lebuh raya utama telah dikenal pasti untuk pemantauan berterusan.
“Selain itu, 407 kawasan panas dan 76 lokasi hitam di seluruh negara termasuk jalan persekutuan, negeri dan perbandaran turut dalam pemantauan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya ketika melancarkan program advokasi Op Selamat 24 di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini.
Menurutnya, operasi kali ini masih mengekalkan pendekatan ‘Total Enforcement and Delivery Services’ yang memberi penekanan kepada kesedaran dan pendidikan pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin.
Sebagai langkah tambahan, JSPT turut melaksanakan Op Lancar bagi memastikan pergerakan trafik lebih tersusun, bermula hari ini hingga 6 April, dengan 2,742 anggota ditugaskan di lokasi strategik.
“Kami akan memastikan kawalan trafik yang lebih efisien di lokasi tumpuan serta terus menguatkuasakan undang-undang bagi mengurangkan risiko kemalangan,” tambahnya lagi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya dan merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang musim perayaan ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |