BERITA SEMASA

Kerjasama NVIDIA-YTL pacu kemajuan infrastruktur AI berasaskam tenaga hijau

GYEONGJU – Pelaburan berimpak tinggi bernilai RM10 bilion antara NVIDIA Corporation dan YTL Power menunjukkan kemajuan ketara dalam pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berasaskan tenaga hijau.

Perkara tersebut ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, dan Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong hari ini.

Beliau berkata, semua pihak menzahirkan kesungguhan bersama memperkukuh kerjasama strategik ke arah membina masa depan digital yang berdaya saing dan berdaulat.

“Ini merupakan pertemuan kedua kami selepas pertemuan di Putrajaya sebelum ini, di mana kita telah mengumumkan pelaburan untuk pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan menggunakan tenaga hijau bernilai RM10 bilion.

“Pelaburan ini memperlihatkan kemajuan besar Malaysia dalam mengangkat agenda Sovereign AI daripada penubuhan Pejabat AI Kebangsaan dan pelancaran ILMU, hinggalah kejayaan pembinaan pusat data AI bertaraf dunia di Kulai, Johor hasil kolaborasi YTL Power dan NVIDIA,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Anwar menegaskan, Malaysia tidak hanya mahu menjadi pengguna teknologi, sebaliknya berhasrat muncul sebagai peneraju AI serta pencipta nilai dan pemacu inovasi yang mampu merancakkan ekonomi serta memberi manfaat kepada rakyat menjelang 2030.

Beliau berkata, pembangunan AI berdaulat penting bagi menjamin kedaulatan digital negara, selain membina ekosistem berasaskan kepercayaan, keselamatan dan tanggungjawab moral.

“Saya merakamkan penghargaan kepada NVIDIA dan YTL atas kemajuan ini, semoga ia mempercepatkan agenda AI Malaysia demi kemaslahatan seluruh rakyat serta masa depan ekonomi MADANI yang inklusif, beretika dan mampan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button