BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tiga tuntutan NUTP berjaya, guru sekolah rendah nikmati penambahbaikan gred jawatan

KUALA LUMPUR – Tiga isu utama yang sekian lama menghantui warga pendidik sekolah rendah akhirnya menemui titik penyelesaian apabila Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berjaya memperjuangkan cadangan penambahbaikan gred jawatan pentadbir di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Antara ketetapan baharu yang diumumkan termasuk kebenaran bagi guru akademik biasa gred DG12 (DG48) untuk dipertimbangkan dilantik sebagai guru penolong kanan di sekolah rendah.

Menurut NUTP, keputusan itu adalah hasil daripada Pembentangan Kelulusan Cadangan Pindaan Gred Jawatan Pentadbir Berdasarkan Penambahbaikan Penggredan Baharu Sekolah KPM yang berlangsung semalam.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, tiga tuntutan utama berjaya diselesaikan termasuk isu guru penolong kanan DG12 (DG48) yang sebelum ini tidak dibenarkan bertukar tempat bertugas.

“Selaras kelulusan dibuat oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), guru penolong kanan pada gred DG12 (DG48) boleh memohon untuk bertukar ke mana-mana sekolah memandangkan gred perjawatan itu telah dinaik taraf,” katanya.

“Melalui naik taraf gred jawatan guru penolong kanan sehingga gred DG12 (DG48), guru akademik biasa pada gred DG12 (DG48) selepas ini boleh dipertimbangkan untuk dilantik sebagai guru penolong kanan di sekolah rendah,” jelasnya dalam kenyataan.

Kini, gred maksimum bagi guru penolong kanan sekolah rendah ditingkatkan sehingga DG54, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada DG44, sekali gus memberi ruang lebih luas kepada warga pendidik meniti tangga kerjaya.

Selain itu, penyelesaian turut dicapai bagi isu guru besar gred DG12 (DG48) yang sebelum ini perlu diturunkan sebagai guru akademik biasa apabila dinaikkan pangkat ke gred DG13 (DG52) atau DG14 (DG54).

“Penyelesaiannya dicapai melalui pelaksanaan penambahbaikan penggredan sekolah yang telah diluluskan JPA, di mana guru besar gred 12 (DG48) boleh dikekalkan pada jawatan guru besar tertakluk kepada ketetapan gred yang baharu,” ujar Aminuddin.

Katanya, sesi pembentangan dan perbincangan berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr. Aminuddin Hassim, dengan jangkaan kuat kuasa bagi ketiga-tiga penyelesaian berkenaan bermula Januari 2026.

Sehubungan itu, NUTP merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Ketua Pengarah Pendidikan serta pegawai Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPM atas komitmen dan kerjasama dalam menyelesaikan isu berkenaan yang sekian lama menjadi kebimbangan warga pendidik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button