BERITA SEMASA

Nurul Izzah nafi buat laporan terhadap Aliff Ahmad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan beliau atau mana-mana pegawainya pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap usahawan dan personaliti media sosial, Aliff Ahmad.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nurul Izzah menjelaskan beliau tidak mengenali individu terbabit dan tidak pernah bertemu dengannya, apatah lagi mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadapnya.

“Saya tidak mengenali beliau ataupun pernah bertemu dengan beliau. Saya juga tidak pasti cara beliau mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikuti garis panduan undang-undang,” katanya melalui satu perkongsian di Facebook.

Tangkap layar status Aliff mengenai cabarannya untuk menyiasat (scrut) Nurul Izzah.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan Nurul Izzah dengan siasatan terhadap Aliff Ahmad oleh pihak berkuasa, dipercayai berpunca daripada satu hantaran di media sosialnya.

Aliff dikatakan pernah membuat cabaran untuk menyelidik secara mendalam atau scrut anak Perdana Menteri itu jika mendapat 20,000 perkongsian.

Bagaimanapun Nurul Izzah menegaskan, beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk Aliff disiasat hanya kerana membuat kenyataan atau cabaran terhadapnya.

“Yang pasti, beliau tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan seperti yang dinyatakan mengenai saya,” tegas beliau.

Nurul Izzah turut menasihati semua pihak agar lebih berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh mencemar reputasi dan menjatuhkan kredibiliti mana-mana individu tanpa bukti kukuh.

Beliau juga menyeru agar semua pihak berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar’ sambil memohon agar segala usaha ke arah kebenaran dan keadilan diberkati Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button